English Version
     
 

Laman Utama l Berita l Ucapan l Laporan Ekonomi l Kembali ke BERNAMA.COM

 
 
 
 

Abdullah Umum Bajet Pemurah Untuk Semua Golongan

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Bajet 2008 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dianggap bajet yang pemurah kerana menawarkan pelbagai "habuan" kepada semua golongan rakyat Malaysia, daripada kanak-kanak tadika, kakitangan awam dan ahli perniagaan hinggalah ke warga emas.

 
     
  PM To Unveil Budget For The People, Businesses  
       
  Abdullah Expected To Unveil Expansionary Budget  
       
  2008 Budget Must Boost Defences Against External Shocks  
       
  Abdullah Expected To Unveil Expansionary Budget  
       
  2008 Budget Must Boost Defences Against External Shocks  
       
   

[ ..lagi ]

 
  Data Utama
  • Malaysia - Perangkaan Penting dan Unjuran
  • Carta Keluaran Dalam Negeri Kasar mengikut Sektor
  • Carta Penjanaan Pendapatan mengikut Aktiviti
 
  Bajet Terdahulu  
  Pautan  
 
 

Abdullah Umum Bajet Pemurah Untuk Semua Golongan

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Bajet 2008 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini dianggap bajet yang pemurah kerana menawarkan pelbagai "habuan" kepada semua golongan rakyat Malaysia, daripada kanak-kanak tadika, kakitangan awam dan ahli perniagaan hinggalah ke warga emas.

Sejumlah RM176.9 bilion yang diperuntukkan bagi Bajet 2008, iaitu 10.9 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2007, disifatkan sebagai antara bajet paling pemurah dengan tumpuan diberi kepada tiga strategi utama -- mempertingkatkan daya saing negara, memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Bajet 2008, yang dibentangkan hanya seminggu selepas negara menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50, turut menangani soal kenaikan kos sara hidup rakyat menerusi penambahan pendapatan boleh guna rakyat.

"Dalam kita menyusun langkah untuk 50 tahun seterusnya, adalah penting untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian yang wujud di negara kita untuk terus dibina satu kekuatan agar kita teguh bersatu bergerak mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju," kata Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Bajet 2008 di Dewan Rakyat di sini.

Bertemakan "Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran", bajet itu juga turut memberikan penekanan penting kepada pembangunan infrastruktur terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Bajet 2008 turut menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif untuk sektor swasta bagi memastikan cukai korporat terus kompetitif.

Untuk menjadikan pentadbiran cukai korporat lebih cekap dan mudah, Kerajaan akan melaksanakan sistem cukai "single-tier", berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2008, di mana keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima dikecualikan daripada cukai.

"Pengurangan dalam cukai korporat (kerajaan dalam Bajet 2007 mengumumkan pengurangan cukai korporat daripada 28 peratus kepada 27 peratus pada 2007, 26 peratus pada 2008 dan 25 peratus pada 2009) dan dengan pengenalan sistem 'single-tier', lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada pemegang saham," kata Abdullah.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelbagai langkah yang akan dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dalam usaha untuk memastikan persekitaran yang kondusif bagi menarik pelaburan swasta.

Untuk menarik modal insan yang berkualiti, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran, kerajaan akan menggalak dan memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran yang akan menambah nilai kepada ekonomi negara.

Untuk ini, Jabatan Imigresen akan memendekkan tempoh memproses permit kerja kepada tujuh hari untuk pekerja berkemahiran berbanding dengan 14 hari sebelum ini.

Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan satu kategori visa baru bagi ahli perniagaan dan profesional asing yang mempunyai tempoh sah lebih panjang, di samping ciri-ciri lain bagi memudahkan proses kemasukan yang akan diperkenalkan dan kesemua langkah itu akan berkuatkuasa 1 Jan 2008, katanya.

Sambil membayangkan pentingnya tadbir urus korporat yang baik, kerajaan akan menubuhkan Lembaga Pengawasan Perakaunan Syarikat Awam di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti bagi mengawas juruaudit syarikat awam ke arah meningkatkan mutu dan kesahihan audit ke atas penyata kewangan syarikat awam.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, menarik pelaburan dari Timur Tengah, industri takaful, meningkatkan daya saing Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir dan merangsang sektor hartanah.

Untuk terus mendorong kemajuan sektor pertanian, Abdullah berkata beberapa sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian telah dikenal pasti untuk dimajukan, seperti projek perintis pemprosesan minyak kelapa dara, pengkormersialan produk nira nipah dan penternakan baka Kambing Boer.

Dalam usaha terus menggalakkan kerjasama antara syarikat bioteknologi dan universiti tempatan, syarikat berstatus Bionexus dibenar menggunakan makmal dan kemudahan penyelidikan di pusat-pusat universiti tempatan.

Dalam usaha memperhebatkan lagi promosi MSC Malaysia di persada antarabangsa, Abdullah berkata kerajaan akan menganjurkan Minggu ICT Dunia di Kuala Lumpur pada Mei 2008.

Katanya pelbagai langkah akan diambil untuk menambah lagi daya tarikan Cyberjaya sebagai Bandar Siber Utama yang dapat terus menarik syarikat teknologi bertaraf dunia.

Menyedari bahawa syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mungkin menghadapi kesukaran aliran tunai pada peringkat awal penubuhan, Perdana Menteri berkata kerajaan mencadangkan syarikat PKS diberi fleksibiliti membayar cukai pada akhir tahun kewangan dan bukan secara ansuran bulanan, dan kelonggaran itu adalah untuk tempoh dua tahun mulai tarikh syarikat memulakan operasi.

Beralih kepada strategi kedua bajet, Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan yuran tahunan sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, kerajaan juga akan memberikan pinjaman buku teks percuma kepada semua pelajar sekolah manakala yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia juga akan dimansuhkan. Tahun lepas, kerajaan telah memansuhkan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM.

"Dengan ini (skim buku teks percuma), 5.7 juta pelajar akan menerima manfaat berbanding 4.5 juta pelajar pada masa ini. Dengan langkah-langkah ini, pendidikan di negara ini adalah seratus peratus percuma," katanya yang disambut dengan tepukan meja yang gemuruh oleh anggota Dewan.

Abdullah berkata untuk memastikan bahawa setiap pelajar mendapat peluang untuk melibatkan diri dalam kegiatan ko-kurikulum beruniform, kerajaan akan memberi sepasang pakaian seragam percuma bagi satu kegiatan kepada pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah RM1,000 sebulan dan ke bawah.

Menyedari pentingnya peranan guru, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan elaun guru pendidikan khas daripada RM100 kepada RM250 sebulan, kenaikan kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada RM85 kepada RM150 sehari dan menyediakan elaun sebanyak RM60 sejam bagi lepasan ijazah dan RM50 sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

"Guru-guru yang telah bersara, dengan pengetahuan dan pengalaman mereka yang luas, masih berupaya menyumbang kepada bidang pendidikan. Untuk ini, guru-guru pesara akan diambil untuk berkhidmat sebagai guru ganti dan tenaga pengajar untuk guru pelatih," kata Abdullah.

Bagi memantapkan pengajian tinggi, sebanyak RM12 bilion diperuntukkan bagi bagi melaksanakan pelbagai projek dan program, termasuk meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di empat buah Universiti Penyelidikan dan meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010.

Peruntukan itu juga akan digunakan untuk menaik taraf sertai memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan dan untuk menjenamakan semula kolej komuniti.

"Kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar ijazah Pertama yang ditaja oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) di universiti tempatan daripada 5,000 setahun kepada 10,000 pelajar setahun mulai 2008," kata Abdullah.

Katanya kerajaan juga sedar bahawa kos sara hidup pelajar telah meningkat dan oleh yang demikian, kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa, sebanyak antara 23 peratus sehingga 84 peratus.

Kadar baru ini, berkuatkuasa mulai semester pertama sesi 2007, akan memberi manfaat kepada lebih 90,000 pelajar dan kerajaan juga akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007.

Kerajaan telah pun meningkatkan elaun sara hidup pelajar di Australia, New Zealand, Mesir dan Korea Selatan pada 2006.

Abdullah turut mengumumkan bahawa skop Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diperluaskan bagi memberi kelonggaran kepada syarikat untuk memilih program latihan dan pendidikan lanjutan kepada kakitangan dan bagi tujuan ini, Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 akan dipinda.

Dalam usaha untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat pasca ijazah.

Perdana Menteri berkata untuk mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, kadar pembayaran royalti kepada penyelidik ditingkatkan kepada 80 peratus dan baki 20 peratus kepada institut penyelidikan.

Bagi memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi menepati permintaan industri ICT, Knowledge Workers Development Institute akan dibangunkan di Cyberjaya.

"Sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia juga akan diwujudkan di Cyberjaya untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang tersebut," kata Abdullah.

Ke arah mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan merapatkan jurang digital, kerajaan akan meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan penyedia perkhidmatan dalam memperluaskan aplikasi jalur lebar, katanya.

Mengenai strategi terakhir Bajet 2008, sejumlah RM381 juta disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah dan daripada jumlah itu, RM191 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa, manakala bakinya akan diperuntukkan bagi PPR Bersepadu.

Katanya Syarikat Perumahan Negara akan juga mempergiatkan pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, termasuk program pemulihan 6,000 unit rumah daripada projek terbengkalai dan pembinaan 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik dan 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat.

"Kerajaan amat prihatin atas kesukaran golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, seperti petani dan pengusaha kecil, mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana.

"Dengan itu, kerajaan akan menyediakan dana sebagai jaminan kepada bank untuk memberi pinjaman perumahan kepada golongan ini. Sebagai permulaan, RM50 juta telah disediakan sebagai jaminan kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Bhd, berkuatkuasa 1 Jan 2008," kata Abdullah.

Untuk meringankan beban rakyat membayar balik bayaran bulanan pinjaman perumahan, kerajaan akan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap bulan untuk tujuan membantu pembayaran ansuran pinjaman perumahan. Setiap pencarum dibenarkan menggunakan kemudahan itu untuk membiayai pinjaman sebuah rumah, berkuatkuasa 1 Jan 2008.

"Ini merupakan satu langkah penting yang akan memberi manfaat kepada kesemua lima juta pencarum aktif KWSP. Skim ini akan membolehkan pencarum memiliki rumah lebih selesa serta meringankan beban mereka. Skim ini akan membolehkan sebanyak RM9.6 bilion setahun dikeluarkan oleh pencarum untuk membeli rumah," tambah beliau.

Dengan sebanyak 13,000 unit kuarters kerajaan lagi akan disiapkan pada 2008, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM887 juta pada tahun 2008 untuk membina lebih banyak kuarters kakitangan awam di seluruh negara, katanya.

Untuk memastikan pembangunan tersebar luas ke seluruh negara, kerajaan akan terus memberikan penekanan kepada usaha membangunkan negeri Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM4 bilion bagi setiap negeri untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan.

Abdullah juga mengumumkan bahawa bagi mempergiatkan aktiviti pelancongan di kedua-dua negeri itu, RM200 juta disediakan di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd dengan keutamaan akan diberi kepada projek pelancongan yang memanfaatkan kekayaan semula jadi Sabah dan Sarawak.

Bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup Bumiputera di kedua-dua negeri, kerajaan memperuntukkan RM800 juta.

"Kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010. Selaras dengan ini, sejumlah RM214 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat," katanya.

Di samping itu, sejumlah RM117 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pengurangan Kemiskinan dan Program Lonjakan Mega. Program ini adalah pembangunan bersepadu untuk menjana pendapatan penduduk di kawasan kurang maju dan terpencil.

Sebagai langkah untuk membasmi kemiskinan bandar, kerajaan akan menyediakan peruntukan berjumlah RM30 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan program latihan yang bersesuaian bagi golongan pelajar tercicir untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan.

Program Kolej Komuniti dan GiatMara juga akan diperluaskan ke kawasan bandar.

Selain kemudahan asas, kerajaan juga akan mempeluaskan kemudahan ICT di luar bandar dan pada 2008, sebanyak RM680 juta disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar dan jalan kampung, RM462 juta untuk projek bekalan air dan elektrik luar bandar, RM70 juta untuk kemudahan sosial dan RM15 juta bagi pendidikan ICT.

"Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan RM45 juta bagi melaksanakan projek SchoolNet untuk menyediakan perkhidmatan Internet di sekolah-sekolah," kata Abdullah.

Bagi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli, kerajaan akan memperuntukkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli sebanyak RM170 juta untuk melaksanakan pelbagai program dan projek dan sejumlah RM50 juta lagi bagi Program Bantuan Rumah dan kemudahan sosial di kawasan penempatan Orang Asli.

Abdullah juga mengumumkan beberapa insentif untuk pembangunan belia dan sukan dan pada masa yang sama memastikan kebolehan dan keupayaan wanita akan terus digilap.

"Bagi tahun 2008, kerajaan memperuntukkan RM782 juta untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara program dan projek yang akan dilaksanakan merangkumi program pembangunan kapasiti dan kemahiran wanita, khususnya ibu tunggal," katanya.

Menyedari pentingnya pendidikan awal, program pendidikan pra-sekolah akan diperluaskan dengan membina sebanyak 280 buah Tabika baru di seluruh negara dengan peruntukan RM105 juta.

Dengan ini, bilangan Tabika akan bertambah kepada lebih 7,600 buah bagi menampung hampir 300,000 kanak-kanak antara empat hingga enam tahun.

Mengenai kebajikan warga emas, Perdana Menteri berkata untuk membantu golongan itu meningkatkan pulangan daripada simpanan mereka, bon bernilai RM2 bilion akan diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia untuk dilanggan oleh warga emas yang berumur 55 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Kadar maksimum bon yang boleh dilanggan adalah RM50,000 seorang dengan tempoh matang selama tiga tahun dengan kadar pulangan lima peratus," katanya.

Bagi mengurangkan beban kewangan warga emas yang miskin dan berkeperluan, kerajaan akan menaikkan kadar bantuan mereka dari RM200 kepada RM300 sebulan berkuatkuasa 1 Jan 2008.

Mengenai bantuan kebajikan bagi orang kurang upaya (OKU), kerajaan telah menaikkan kadar elaun bulanan pekerja OKU daripada RM200 kepada RM300, memberi bantuan khas sebanyak RM300 sebulan kepada penjaga OKU yang terlantar dan pesakit yang menghidap penyakit kronik dan membenarkan potongan cukai kepada majikan ke atas kos pengubahsuaian tempat kerja bagi pekerja OKU untuk menggalakkan sektor swasta mengambil lebih ramai pekerja OKU.

Mengenai kesihatan, Perdana Menteri berkata RM13 bilion diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital, memperoleh bekalan ubat dan menyediakan kemudahan peralatan kesihatan.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 adalah pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Hospital Kluang, Hospital Tampin, Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Untuk mengekalkan Pegawai Pakar Perubatan Kerajaan di hospital atau klinik kerajaan, Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) akan dilaksanakan di hospital di mana pakar perubatan dibolehkan menerima sebahagian daripada bayaran yang dikenakan ke atas pesakit FPP, berkuatkuasa 1 Jan 2008.

Dengan mengambil kira kepentingan ketenteraman awam dan usaha membanteras jenayah, sebanyak RM6 bilion diperuntukkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), katanya.

Abdullah berkata bagi memupuk budaya pwnyelenggaraan yang baik, kerajaan memperuntukkan RM9.7 bilion untuk pelbagai kerja penyelenggaraan.

"Untuk memastikan peruntukan ini dimanfaatkan sepenuhnya, kementerian dan agensi tidak akan dibenarkan untuk membuat pindah peruntukan untuk membiayai aktiviti lain. Tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang mengabaikan kerja-kerja penyelenggaraan," katanya.

Bagi pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi projek tebatan banjir di Sungai Muda, Sungai Kelantan, Sungai Damansara, Sungai Prai dan Projek Mengatasi Banjir Kuala Lumpur untuk mengurangkan kejadian banjir.

Mengenai perkhidmatan awam, Abdullah berkata sudah tiba masanya amalan terbaik dan budaya prestasi tinggi diguna pakai untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan itu.

"Sebagai permulaan, Ketua Setiausaha semua kementerian dan Ketua Perkhidmatan akan ditawarkan skim kontrak selama tiga tahun, serta prestasi mereka akan diberi ganjaran berasaskan KPI. Kontrak ini ditawarkan kepada pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan pegawai perkhidmatan berkaitan yang sedang berkhidmat," kata beliau.

Untuk melicinkan urusan pentadbiran, kerajaan telah melantik pegawai-pegawai Gred 41 secara kontrak untuk mengisi kekosongan jawatan. Kebanyakan pegawai berkenaan menunjukkan prestasi kerja yang tinggi dan sesuai untuk dilantik secara tetap.

"Pegawai kontrak yang berprestasi tinggi yang diperakukan oleh ketua jabatan akan diberi keutamaan untuk diserap ke dalam perkhidmatan awam," kata Abdullah dalam ucapannya selama 90 minit.

-- BERNAMA

 
 
 
  Copyright ©2008 BERNAMA
All rights reserved.
This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 1024 x 768 pixels